Rabu, 31 Oktober 2007

sekadar renungan


Salam


Belum terlambat untuk mengucapkan Salam Eidul Fitri...


Jangan lupa membereskan puasa 6 hari bulan Syawal...besar fadhilatnya wo!


Apa yang lebih penting, semoga Ramadhan yang berlalu sebulan lalu benar-benar menjadikan kita seorang manusia yang patuh kepada Al Khalik. Semoga kita terus istiqomah dengan iman dan Islam. Semoga kita benar-benar menjadi umat Muhammad, dari dunia sampai akhirat!

rehat minda




Salam




Kisah berlaku pada suatu zaman dahulu...




Pada suatu hari, seorang pemuda yang terkenal dengan sikap lurusnya telah pergi memburu itik di sebuah tasik. Dia sememangnya sangat menginginkan makan daging buru tersebut. Dia turut membawa sebuku roti untuk tujuan itu. Beliau cuba menangkap itik-itik tersebut, namun setelah beberapa jam cuba menangkapnya dia masih gagal berbuat demikian. Beberapa orang ada di sekitar itu ketawa melihatkan telatah pemuda tersebut. Akhirnya pemuda tersebut mencicah roti yang dibawanya ke dalam tasik tersebut lalu memakannya dengan penuh berselera. Perbuatannya menimbulkan pertanyaan dalam kalangan orang ramai di situ. "Mengapakah engkau mencicah rotimu dalam air tasik tersebut, bukankah pelik perbuatanmu itu" Lelaki itu menjawab, "Tak makan daging tak mengapa, kuah pun jadilah...!" jawabnya dengan penuh yakin.

sekadar renungan


Assalamu'alaikum w.b.t



Kita bertemu lagi di ruangan maya ini.



Hari ini aku berniat nak menulis serba sedikit tentang suasana di persekolahan - bukan nak membuat perbandingan tidak adil dengan zaman aku, cuma nak mengerti hakikat akan nilai ilmu dalam kalangan anak-anak hari ini.



Sekolahaku ketika ini sedang mengadakan peperiksaan akhir tahun. Seperti biasa suasananya tenteram, terkawal, dan semua pelajar setia dengan buku masing-masing (satu suasana yang payah aku nak tengok kalau bukan 'zaman' peperiksaan! Biarlah tu, perkara itu lebih bermanfaat kan? Cuma aku hairan dengan sikap para pelajar di sekolahku - sebaik sahaja peperiksaan sesuatu kertas itu tamat, maka berlonggok-longgoklah segala buku teks, buku nota, kamus, nota ringkas, dan sebagainya di merata tempat - di tangga, di tepi longkang, di tepi kaki lima, dan di mana-mana sahaja yang mungkin. Inilah yang menjadi perbincangan para guru. Seolah-olah ilmu yang ada pada buku-buku tersebut tidak bernilai, hingga layak dibakul sampah atau dilongkangkan! Jika inilah mentaliti generasi hari ini, bagaimana agaknya cabaran untuk mengisi manusia berminda kelas pertama?



Teringataku akan zaman persekolahan aku dahulu - percaya atau tidak Kamus Dewan yang sering terbuang di mana-mana hari ini, cukup sukar aku miliki - justeru harganya yang agak mahal (masa belajar pinjam ajelah!). Hanya apabila aku telah bekerja, barulah aku dapat membelinya - satu kepuasan yang tak tergambar. Begitu juga dengan nota-nota sekolahku. JIka anak-anak hari ini tidak mengumpamakan nota-nota yang diberi oleh para guru, aku masih lagi menyimpan nota-nota aku ketika di tingkatan enam dahulu. Aku tidaklah bermaksud untuk mengatakan bahawa para pelajar hari ini (bukan semua) tidak menghargai ilmu, cuma aku kesal dengan sikap mereka terhadap ilmu2 yang bermanfaat ini.



Kita menung-menung dan fikirkan sejenak...kenangkan bagaimana susahnya generasi awal Islam dahulu sukar untuk mendapatkan ilmu. Kenangkan bagaimana perih payah, pahit getir Muhammad b. Abdullah menerima wahyu dari Allah. Bayangkan bagaimana susahnya Iman Syafie, Hanafi, Ghazali, Maliki, Ibnu Sina, Sheikh Abdul Qadir Jailani, Bukhari, Muslim, danlain-lainnya mendapatkan ilmu? Bagaimana hasil kegigihan generasi Islam tersebut yang gigih menuntut ilmu ini hingga berjaya mewujudkan kerajaan Islam yang gemilang dalam semua aspek. Bagaimana kecemerlangan Islam menjadi inspirasi dan batu tanda kejayaan bangsa Eropah sehinggaberjaya melepasi zaman gelap?



Jadi, bagaimanakah sikap kita terhadap ilmu, terhadap adab berilmu, terhadap Islam, terhadap Rasulullah, malah terhadap Allah sendiri? Cuba nyatakan bagaimana kita akan berjaya di dunia dan akhirat sekiranya dalam soal remeh terhadap penghargaan ilmu/ buku, kita masih gagal tidak pernah ambil pusing...Mungkin perbandingan zaman antara aku dengan generasi hari tidak adil, tetapi bagiku sikap kita terhadap ilmu ini lebih tidak adil, sekiranya kita terus melangsungkan sikap buruk kita itu.



Cuba kita fikir-fikirkan...di mana dan bagaimana sikap kita!



Selasa, 30 Oktober 2007

rehat minda


Salam Kisah ini berlaku pada zaman dahulu. Pada suatu hari seorang sheikh berlari-lari anak kerana kehujanan. Perbuatannya itu diperhatikan oleh seorang pemuda yang lurus dari tingkap rumahnya. "Wahai sheikh, mengapakah engkau berlari-lari sedemikian rupa?" Sheikh itu menjawab, "Tidakkah engkau melihat hujan sekarang ini, pastilah aku terpaksa berlari untuk mengelakkan kebasahan" jawabnya agak kehairanan dengan soalan pemuda itu tadi. "Tidakkah engkau sedar wahai sheikh hujan itu adalah rahmat Allah? Mengapakah engkau lari dari rahmat Allah, sungguh menghairankan" Sheikh itu akhirnya berhenti berlari dan berjalan dalam hujan sehingga kebasahan. Beberapa hari kemudiannya sheikh itu tadi memerhatikan pemuda yang lurus itu tadi dari tingkap rumahnya kelihatan berlari-lari dalam hujan. "Wahai pemuda, mengapakah engkau berlari dalam hujan. Apakah engkau lari dari rahmat Allah, sungguh pelik akan sikapmu itu" kata sheikh itu. "Wahai sheikh, kerana rahmat Allah lah aku lari dari hujan ini. Aku tidak mahu memijak rahmat Allah yang bertaburan di atas tanah ini. Mengapa pula aku perlu memijak rahmat Allah ini?" Jawapan pemuda itu menyebabkan sheikh itu tadi terdiam sambil memikirkannya dalam-dalam.

sekadar renungan


Assalamu'alaikum wbt

Kita bertemu lagi di gerbang maya, yang nyata di mata, namun tak terjangkau oleh tangan ini.
Selepas solat maghrib semalam, aku berpeluang mengikuti kuliah maghrib yang disampaikan oleh seorang ustaz. Tajuknya mudah sahaja, muhasabah/ menilai kembali/ post morterm

Sebenarnya banyak perkara yang membuatkan aku tertarik dengan isi kuliahnya, namun cukuplah kiranya aku sebarkan pada ruangan ini beberapa inti pati penting dari kuliahnya itu. Paling ketara katanya, ketika Ramadhan, masjid yang selalunya miskin dengan para jemaah, tiba-tiba melimpah ruah. Entah dari datangnya. Tak kisahlah tu, yang baik perlu disambut dengan tangan terbuka dan diberi sokongan. Namun malang, munculnya fajarnya 1 Syawal, masjid dan surau kita kembali sepi, kosong, dan terpasung. Tinggalah golongan kaki masjid yang terus setia mengimarahkan masjid -pak imam, pak bilal, pakcik-pakcik, makcik-makcik, golongan yang sudah pencen, dan beberapa orang lagi. Saf yang dulu melimpah ruah, kini cuma tinggal sebaris sahaja - itu pun dah cukup baik. Tambahnya lagi, yang lebih malang, ketika solat sunat Eidul Fitri, masjid juga tak kurang penuhnya - terdiri dari pelbagai peringkat - termasuk juga dalam kalangan lelaki yang memakai rantai, gelang, subang, dan beraneka warna rambutnya - malang senario ini tidak berpanjangan - ketika solat fardhu, kembali kosong - cuba lihat realiti ketika solat subuh, zuhur, dan asar - dapat kita lihat betapa miskinnya masjid dan surau kita! Perkara yang beliau bangkitkan, mengapa solat sunat masjid begitu penuh tetapi ironinya berlaku ketika solat fardhu? Justeru tidak hairanlah jika kita mendengar dialog berikut..."Eh, hari tu bumbung masjid ni warna biru, bila pulak tukar warna kuning?" "Eh, apalah kau ni, bumbung warna biru tu tahun lepaslah...nampak sangat kau ni pergi solat setahun sekali!" Itulah realiti masyarakat kita kini - mungkin pergi bersolat hari raya semata-mata untuk menayangkan baju melayu mereka - tak lah rasa sia-sia menghabiskan duit untuk membeli/ menempah baju raya baru! Cuba kita renung, perhati, dan fikirkan hal ini...

Perkara kedua yang dibangkitkan ialah cara orang kita (bukan semua) merayakan Eidul Fitri - mereka bebas semahu-mahunya. Bersalaman tanpa mengira batas halal dan haram, lelaki dan perempuan semuanya bersalaman dengan matlmat yang SATU - memohon kemaafan. Apa yang lebih teruk, ada yang memakai sarung tangan (berlapik) untuk bersalaman dengan bukan mahramnya. Begitu juga dengan soal pergaulan bebas serta tayangan rancangan tv (bukan semua) yang rata-ratanya melanngar konsep/ erti sebenar hari raya fitrah itu - kembali kepada fitrah manusia Islam. Seolah-olah tarbiyah/ universiti Ramadhan selama sebulan itu berlalu sia-sia tanpa sebarang pengisian, tanpa sebarang keinsafan!

Begitulah yang diperhatikan - sebenarnya bagi aku, nasihatnya bukan untuk orang lain tetapi juga buat diriku, tetapi aku rasa wajar juga dikongsikan pada ruangan yang terhad ini. Begitulah hakikat kita kini, ramai yang semakin hanyut dari Islam yang sebenar pada zaman yang penuh cabaran dan fitnah. Cuma aku terfikir, dengan keadaan sebegini, bagaimana diri ini akan berdiri di hadapan Allah untuk menerima pengadilan daripadaNya? Sanggupkah aku? Bersediakah aku? Sempurnakah amalanku? Kukuhkah hujahku kelak? Teringat aku akan kata-kata Saidina Umar al Khattab dahulu, lebih kurang berbunyi begini - "Hisablah diri kita, sebelum diri kita ini dihisab di hadapan Allah kelak...!" Mari kita sama-sama berfikir dan bertindak...Jom, ke masjid!

Isnin, 29 Oktober 2007

rehat minda


Salam


Pada suatu hari, seorang lelaki yang lurus telah ke pasar untuk membeli sepuluh ekor keldai. Dia bejaya membeli keldai-keldai tersebut. Selepas itu, dia menunggang salah seekor daripada keldai-keldai tersebut sambil mengiranya. "Satu, dua, tiga..." Didapatinya hanya terdapat sembilan ekor keldai sahaja. Oleh kerana tidak berpuas hati, dia turun dari keldai tersebut dan mengiranya kembali. Kali ini beliau mendapati terdapat sepuluh ekor keldai. Dia berasa sangat gembira. Dia menunggang kembali keldainya dan meneruskan perjalanan. Kemudian dia mengira kembali bilangan keldai-keldainya. Didapatinya keldai-keldainya tinggal sembilan ekor sahaja. Apabila dia turun dari keldai dan mengiranya kembali, keldainya kembali berjumlah sepuluh ekor. Begitulah kekeliruan yang dialaminya sehingga sampai ke rumah.


Apabila sampai ke rumah, isterinya kehairanan melihat wajah suaminyayang seolah-olah berada dalam masalah yang sangat besar. "Mengapa wajah awak kelihatan murung, apakah awak menghadapi masalah," tanya isterinya. "Saya membeli sepuluh ekor keldai. Apabila saya menunggangnya, keldai-keldai tinggal sembilan ekor. Bila saya turun dari keldai, jumlahnya bertambah menjadi sepuluh ekor. Saya menunggang semula, tinggal seekor sahaja. Saya hairan, mana perginya yang seekor lagi?" katanya penuh kekeliruan. Akhirnya isterinya berkata, "Biar saya yang mengiranya". Lelaki itu berasa sangat gembira kerana isteri akan menyelesaikan masalahnya. "Eh, rupa-rupanya ada sebelas ekor keldai!" jawab isterinya. Rupa-rupanya isterinya turut mengira suaminya sebagai keldai ekoran kelurusannya itu!

sekadar renungan


Salam


Seluruh rakyat Malaysia gembira dan berbangga dengan kejayaan hero angkasa lepas kita, Dr. Sheikh Muszaphar yang telah berjaya mencatat rekod sebagai rakyat Malaysia pertama berjaya menlangkaui langit tanah air negara, terus menuju ke ISS. Memang patut kita bergembira, memang patut penghargaan diberikan kepada Dr. Sheikh Muszphar. Dia memang hero Malaysia. Lebih hero dari Cicak Man!


Cuma, kadangkala aku terfikir betapa ramai lagi hero-hero kita yang tidak pernah kita ambil peduli. Ketika Ramadhan lalu, aku pernah menonton program Pukul 3 Pagi di TV9. Kisahnya berkaitan dengan para pekerja pembersihan di Kuala Lumpur. Fikiranku juga terhimbau terhadap para pekerja yang menyapu sampah di tepi-tepi jalan, anggota bomba, para pengawal keselamatan, pekerja-pekerja di stesen-stesen minyak, para petugas di wad kecemasan, dan sebagainya. Tidak pernah rasanya mereka dianggap sebagai hero (sememangnya mereka pun tidak pernah minta dianggap sebagai hero)


Pada pandangan peribadiku, mereka tetap hero dan berjasa kepada masyarakat. Bayangkan, ketiadaan hero-hero yang sanggup menyabung nyawa menyapu di tepi-tepi jalanraya di Kuala Lumpur. Pastinya jalan raya kita akan dipenuhi segala macam sampah, yang dibuang sesuka hati oleh kita.


Aku percaya, mereka tidak pernah mahu dianggap sebagai hero, apatah lagi dijulang namanya dengan gelaran pelbagai pangkat seperti Dato', Datuk Seri, mahupun Tan Sri. Namun apa yang tetap percaya, mereka benar-benar berjasa dan memainkan peranan yang cukup besar dalam menjamin keselesaan dan kelangsungan hidup kita.


Mungkin sudah sampai masanya untuk kita berhenti sejenak dan berfikir betapa heronya mereka bairpun mereka tidak pernah sampai ke angkasa, tidak sampai ke kutub utara mahupun selatan, dan tidak pernah belayar mengelilingi dunia.


Sekurang-kurangnya kita berilah penghargaan yang selayaknya untuk mereka sebagai unit penting dalam komuniti kita. Mungkin kita terlalu lama mendongak ke langit melihat bintang, sehingga terlupa rumput di bumi yang dibersihkan oleh hero kita ini

sekadar renungan


Salam


Sekadar buat renungan kita bersama...

Berakhirnya Ramadhan,

Hatiku terasa sayu dan pedih

Saf masjid yang dahulunya penuh, melimpah ruah

Kini kosong, sepi, dan terasing

Jemaaah yang dahulunya berbondong-bondong ke masjid

Mulai mengenali apa itu tarawih, witir, dan selawat

Kini hilang entah ke mana

Suasana yang dahulunya meriah dan mewah dengan suara sekalian jemaah

Sekarang terasa sunyi dan sepi

Mana rakan-rakan jemaahku

Beginilah nasib masjid dan surauku hari ini

Ketika Ramadhan masjid dan surau kekenali

Berakhirnya Ramadhan, rumah terbuka Syawal jadi keutamaan

Malang buat umat Islamku kini

Masjid semakin terpulau dan kosong

Tiada imarah, tanpa meriah

Mungkin Ramadhan 1428H nanti

Masjidku akan kembali bebas dari kongkongan sepi yang sunyi...


Fikirkanlah...di mana kita

Apakah peranan kita

Di mana masjid kita?

rehat minda 1


Seorang sheikh bertanya kepada jirannya pada suatu pagi, "Aku terdengar jeritan dari rumahmu malam tadi. Apakah yang telah berlaku?" Dengan tenang sahabatnya menjawab, "Jubahku ditendang oleh keldai malam tadi, sebaba itu aku menjerit" Sheikh itu kehairanan. "Masakan jubah yang ditendang boleh mengeluarkan suara yang keras, seolah-olah kesakitan?"

Sahabatnya dengan muka yang selamba menjawab, "Manakan tidak, ketika jubah itu ditendang, aku berada di dalamnya!". Sheikh itu terlopong mendengar jawapan penuh yakin sahabatnya itu.

alahai, sekolah lagi


Salam,


Apa khabar semua?

Baru-baru ini, masyarakat digemparkan dengan isu sekolah - sekolah lagi - laporan TV3 menyatakan kisah segelintir para pelajar yang bebas untuk ponteng sekolah serta bebas keluar masuk sekolah tanpa sebarang rasa khuatir, gusar, atau bersalah. Maka apabila isu ini heboh, pelbagai pihak - sama ada masyarakat umum, pihak PIBG, malah Kementerian Pelajaran sendiri telah bersuara menyatakan keprihatnan mereka berhubung isu ini. Pihak kementerian sendiri memandang serius tentang isu ini.


Nampaknya perjalanan sepanjang tahun 2007 ini banyak diwarnai oleh kisah-kisah klasik, unik, dan panas berkaitan sekolah - bermula dengan kisah2 para pelajar memukul guru, didenda dengan direndam di dalam kolam, guru mendenda para pelajar secara wewenang, dan sebagainya.


Persoalan yang timbul, apa sudah jadi dengan sistem persekolahan di negara kita? Adalah menyediahkan apabila sesautu isu itu timbul, kita mengambil jalan paling mudah dengan saling menyalahkan pelbagai pihak lain tanpa pernah ada rasa keinsafan untuk menilai@ menghisab diri sendiri. Bermulalah episod bangau oh bangau - bangau oh bangau mengapa engkau kurus, bagaimana aku tak kurus, ikan tidak timbul...Begitulah seterusnya - kita tersu menyalahkan orang lain. Dalam hal ini kita menyalahkan pihak guru (terlalu kerap guru dipersalahkan), pihak sekolah, PIBG, masyarakat, dan seterusnya. Begitulah kita, tidak pernah mahu belajar dari kesilapan lalu - lihat dalam episod malang tragedi bas ekspres bukit gantang, feri seagull express dan sebagainya. Bila agaknya kita akan belajar? Sedih bila memikirkan kerana kita sudah sampai ke angkasaraya dan membuat penyelidikan di sana untuk kemaslahatan umat manusia, malangya ironi berlaku - masalah ponteng sekolah di bumi masih belum selesai? Mari kita berfikir...


Ahad, 28 Oktober 2007

Salam, selamat datang




Selamat menikmati, apa-apa sahaja yang ada di ruangan yang tak tercapai oleh tangan kalian ini.