Isnin, 26 November 2007

sekadar renungan

Assalamualaikum
Bertemu lagi kita setelah hampir dua minggu aku tidak cakna akan blog ini - banyak hambatan2 lain yang perlu kuselesaikan
Aku ingin berkongsi sedikit kisah yang kukutip dari kuliah maghrib dan novel yang kubaca - Menikam Kalbu, karya Faisal Tehrani.
Apa yang ingin kunukilkan di sini ialah soal yang sememangnya penting buat umat Islam, namun hari ini ia semakin dipinggirkan@ ramai dalam kalangan kita yang mengikutnya secara songsang - soal aurat!
Hakikat hari ini apabila aku melihat di dalam majalah ataupun rancangan majalah TV, muncul satu tradisi baru - busana muslimah/ muslimin. Kita diperkenalkan dengan pakaian2 yang dikatakan berimejkan Islam. Bertudung, berbaju panjang, dan sebagainya yang dikatakan menutup aurat - cuma apa yang sendiri terlalu 'bodoh' untuk memahaminya ialah, konsep menutup aurat yang ditampilkan oleh para pereka dan pedagang busana itu jauh dari konsep aurat yang telah ditetapka oleh Islam - apakah ertinya "bertudung" bagi seorang muslimah jika masih menampakkan leher, helaian rambut halus, tengkuk, dan sebagainya? Apa ertinya menutup aurat jika pakaiannya masih ketat dan menampakkan setiap susuk tubuh? Apakah maknanya menutup aurat, jika fabrik yang digunakan terlalu jarang - hingga ada yang menisbahkan ia sebagai langsir tingkap@pintu dan warnanya yang terang menyala sehingga menarik mata para lelaki? Apa ertinya bertudung, sekiranya baju yang digunakan berlengan pendek dan untuk menutup kekurangan itu maka dipakaikan sarung lengan. Adakah dikira menutup aurat jika kasih memakai jeans sendat yang menyeksa tubuh...? Teringat aku akan konsep berpakaian wanita Islam pada zaman persekolahanku dahulu - Tas Tu Wah Ka (Atas tutup, bawah buka - memakai tudung dan dalam masa yang sama memakai baju berlengan pendek dan berjeans ketat...)
Mutakhir ini, aku rasa kita sering dikelirukan dengan jenama@label Islam oleh pelbagai pihak - namun pada pandangan aku, ia sebenarnya sangat jauuuuuuhhhh dari Islam yang diwahyukan kepada junjungan besar kita. Lihat sahaja dalam soal fesyen dan budaya berpakaian dalam kalangan umat Islam hari ini. Itu tidak kira lagi dengan mereka yang bebas berseluar pendek, berpakaian menampakkan segala aurat dan urat serta sejuta macam fitnah yang diperkenalkan dalam budaya berpakaian yang aku pasti jauh menyimpang dari tuntutan Islam. Nampaknya umat Islam kini (bukan semua) masih terus terkeliru dengan konsep menutup aurat kerana bagi mereka menutup aurat itu ialah sekadar mengenakan tudung yang cukup kecil molek di atas kepala - sudah lengkap - tidak ambil peduli tentang leher, tengkuk, bentuk badan, kaki yang terdedah. Lelaki juga tidak terkecuali dalam hal ini. Akan aku bincangkan dalam post yang akan datang.
Apa yang kunyatakan ini adalah hasil pemerhatianku selama ini. Marilah kita sama2 memikirkan dan berusaha meluruskan apa kusut selama ini. Semoga Islam yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad SAW terus subur di muka bumi Allah ini. Allah Hu Akbar!

Khamis, 15 November 2007

sekadar renungan



Salam


Kita bertemu lagi...


Aku ingin berkongsi maklumat yang diperoleh awal minggu ini...


Ketika mengikuti kuliah maghrib, ustaz berkenaan bercerita berkaitan dengan sikap manusia hari ini berkaitan solat berjemaah di masjid. Menurutnya meskipun azan sekian banyak dilaungkan di masjid dan juga surau, namun masih terlalu ramai manusia yang tidak mengendahkannya - khususnya untuk solat berjamaah di masjid atau surau.


Beliua turut mengkategorikan 3 jenis manusia yang hadir ke masjid/ surau (bukan melabel manusia, sekadar pandangan yang boleh kita kongsi dan insafi bersama)


Pertama, hadir ke masjid kerana panggilan manusia (azan) - mereka ini hadir dengan rela hati untuk menunaikan perintah Allah - jumlah ini tidak ramai bilangannya.


Kedua, hadir ke masjid kerana mendapat undangan khas - contohnya datang ke masjid kerana ada kenduri, jamuan makan, sambutan maulidur rasul dan sebagainya - jumlahnya agak ramai, khususnya ketika majlis itu berlangsung


Ketiga, hadir ke masjid kerana 'tidak dirancang, tidak sengaja' - golongan ini biasanya hadir ke masjid bukan kerana kehendak sendiri, sebaliknya hadir kerana mengiringi tetamu atau para pembesar/ pemimpin. Lebih malang, mereka hadir ketika bukan pada waktu solat!


Begitulah hakikat kita hari ini - ketika muazzin sedang mengumandangkan azan, ramai dari kita yang masih berada di mana-mana - di pasar raya sibuk membeli belah, di pasar malam membeli jagung dan apam balik, di padang bola sibuk mengejar bola yang sebiji, di kedai makan sibuk menghirup teh tarik kurang manis dan sebagainya.


Inilah hakikat masa kini - masjid dan surau semakin lengang, sunyi, dan sepi. Jika penuh satu saf pada ketika solat lima waktu, ia sudah dikira cukup ramai..


Renung, fikir, dan lihatlah di mana kita...di masjid/ surau atau di mana-mana!

Isnin, 12 November 2007

sekadar renungan

Salam

Apa kahbar? Beberapa hari tidak menulis, kita berjumpa lagi

Tiada apa yang hendak ku nukilkan di sini - cuma sama-sama maksud hadis Rasululah SAW yang aku baca sejak jumaat, sabtu, ahad, dan isnin lalu.

"Sudah hampir tiba suatu masa di mana tidak tinggal lagi dari Islam itu kecuali hanya namanya dan tidak tinggal dari al-Qur'an kecuali hanya tulisannya. Masjid-masjid mereka tersergam indah, namun kosong dari petunjuk. Ulama'-ulama' mereka adalah sejahat-jahat makhluk yang ada di bawah kulit langit. Dari mereka berpunca fitnah dan kepada mereka fitnah itu kembali (riwayat Baihaqi)

Bagaimana kualiti Islam kita? Bagaimana hakikat Islam kita? Bagaimana umat Islam kita kini? Mungkinkah apa yang dijelaskan dalam hadith itu telah berlaku kini?

Kita kongsikan bersama - dengar, lihat, fikirkan bersama...

Ahad, 11 November 2007

bahasaku

Salam
Halaman ini membincangkan isu-isu Bahasa Melayu - tatabahasa, kosakata, karangan, struktur ayat, frasa, dan sebagainya - khusus untuk para pelajarku yang berada di tingkatan 2 dan 3 (untuk pmr). Harap dimanfaatkan!

Selasa, 6 November 2007

sekadar renungan


Salam




Bertemu lagi kita...




Aku berhasrat tidak mahu 'mengheret' penulisan kali ini panjang-panjang...




Apa yang kita cari dalam hidup ini...


Bagi pelajar, apa yang kita cari dalam hidup ini - selepas selesai peperiksaan dan berjaya, tugas sudah selesai?




Bagi pendidik, apakah dengan tamatnya kelas, selesainya sukatan pelajaran, dan berjayanya anak-anak didik dalam peperiksaan, tugas kita telah bernoktah?




Bagi pekerja, apakah setelah menyiapkan kerja dan menerima gaji bulanan, apakah kita sudah dikira berjaya?




Bagi kita, apakah dengan mempunyai kantung yang kembung (dalam suasana hidup yang kian menyempit), apakah sudah bahagia dan serba selesai matlamat kita?




Bagi manusia, apakah dengan mempunyai harta yang menumpuk, gedung yang sempurna, pekerjaan yang selesa, keluarga yang bahagia, justeru kita sudah mengecap hakiki bahagia?




Bagi Mukmin dan Mukminat, apakah setelah selesai menyelesaikan fardhu 'ain dan kifayahmu, tugas kita tamat sudah?




Bagi aku, banyak yang belum selesai - tanggungjawab kepada diri, keluarga, masyarakat, ummah, negara, dan dunia yang banyak tersisa - mungkin tidak terluak lagi. Sesungguhnya hambatan amanah Allah ini amat besar untuk kita pikul...




Fikirkan sejenak...di mana dan bagaimana kita?

Isnin, 5 November 2007

sekadar renungan


Assalamu'alaikum w.b.t

Salam, kita bertemu lagi!

Aku ingin berkongsi sedikit ilmu yang aku perolehi dari kuliah tafsir selepas solat Maghrib malam tadi - peringatan buat diriku dan sesiapa yang melayari blog ini.

Semalam penceramah memberi kuliah tentang surah Alkahfi, dari ayat 3 hingga 5. Beliau menyentuh tentang amaran Allah tentang sikap orang musyrikin yang mengatakan Allah mempunyai anak - Uzair anak Allah, kata yahudi, Isa anak Allah kata nasrani, dan malaikat anak perempuan Allah, kata Arab musyrikin. Betapa sesatnya mereka!

Tetapi apa yang aku nak catatkan di sini ialah tentang perihal lidah. Menurut ustaz itu, lidah merupakan anggota manusia yang berbentuk kecil - tetapi bahaya yang dimainkan amat besar kepada diri pemiliknya - berdusta, sumpah palsu, menyebut perkataan-perkataan lucah dan sia-sia. Tambahnya lagi, betapa ramai manusia yang tercebur ke dalam neraka disebabkan oleh lisan/ lidah/ mulut manusia. Natijahnya di hadapan Allah kelak, kepetahan lidah memutar belitkan kata-kata akan terkunci sementara anggota-anggota badan lain akan menjadi saksi. Justeru tambah beliau, jika tiada sesuatu yang layak diperkatakan - maka lebih baik kita diam!
Beliau juga menambah, selain menjaga lisannya, manusia juga perlu memelihara kemaluannya kerana juga mampu mendorong manusia ke arah kebinasaan!

Beralih kepada isu yang berbeza....

Beliau menyentuh tentang sifat yang perlu ada pada setiap orang Islam - perlu bersikap sebagai seorang dai'e. Beliau memberi contoh sikap yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad terhadap para penduduk Taif yang menolak dakwah baginda. Biarpun malaikat mennawarkan baginda agar para penduduk Taif dimusnahkan, namun baginda menyatakan lebih kurang maksudnya, " Jika mereka tidak mahu menerima Islam, biarlah anak-anak mereka yang mahu menerimanya" Begitulah luhur sikap baginda dan inilah sikap yang perlu kita contohi - sekiranya nasihat yang kita berikan kepada seseorang ditolak, jangan kita tinggalkan mereka sebaliknya kita perlu berasa kesal dan mendoakan mereka agar diberi hidayah!

Elok kita fikir-fikirkan!

Ahad, 4 November 2007

rehat minda



Salam




Terima kasih aku ucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan buat anak-anak muridku yang baik serta keluarga mereka yang telah datang ke teratak kami semalam - kunjungan balasan Eidul Fitri yang kami lakukan minggu lepas.




Sesungguhnya kami rasa amat berbesar hati dan berbangga dengan kunjungan mereka. Semoga kedatangan mereka dapat merapatkan ukhuwah kita sesama Muslim. Apa yang kurang, sama ada dari segi hidangan, layanan, pertuturan, dan apa sahaja - semoga dimaafkan dan dapat diterima dengan lapang dada.




Sekali lagi terima kasih - jika ada kelapangan silalah ke teratak kami, kami amat berbesar hati menyambut kalian!




p/s - bagaimana dengan rehlah kita pulak?

sekadar renungan

Salam!
Budaya Tangguh-tangguh, Nanti-nanti...
Bertemu kembali di persada ini, setelah dua hari berehat.
Apa yang nak aku nukilkan di sini menyentuh tentang budaya atau cara kita dalam hidup seharian. Bukan niat memperkecilkan sesiapa, sekadar meluah apa yang berlaku di sekitar kita. Jika ada yang tersingguh atau tersentuh, maaf kupinta!
Sikap atau lebih tepat budaya bertangguh atau "nanti sekejap"memang sudah membarah dalam kalangan kita. Contoh paling baik, jika diajak ke arah kebaikan seperti segera bersolat, ramai yang memberikan alasan (tetapi BUKAN SEMUA!) - "pergi dulu le, saya belum mandi lagi, sila le solat dahulu, kejap lagi le, nanti sekejap", dan sejuta satu alasan lagi. Begitulah adatnya kita - apabila diajak ke arah kebaikan, kita sering bertangguh dan beralasan. Tetapi jika diajak melakukan sesuatu yang sebaliknya, kita akan bersegera tanpa tangguh!
Budaya sedemikian amat melukakan kita sebagai umat Islam yang cukup sinonim dengan wahyu Allah berkaitan dengan kepentingan masa. Kita juga sering diingatkan dengan pengajaran dari surah Al-Asr untuk kemaslahatan kita. Cuma, memang cukup malang, kita tidak pernah mengambil pengajaran dan peringatan dari surah tersebut. Justeru, tidak hairanlah masalah ummah kita tidak pernah selesai - dari isu klasik Palestin, Chechnya, Kashmir, Iraq, Afghanistan dan sebagainya. "Baiklah, kita nanti kita akan bincangkan pada suatu masa yang akan ditetapkan kelak". Bertambah malang, isu umat Islam kita serahkan kepada kuffar untuk menyelesaikannya - PBB, Nato, EU, dan sebagainya. Di mana kesatuan umat Islam, di mana suara umat Islam, di mana pertolongan umat Islam ,dan di mana OIC?
Mengapa kita masih lagi bertangguh-tangguh dan bernanti-nanti pada ketika saudara-saudara kita terus mengalami tribulasi, disembelih, ditindas, dan dizalimi saban masa setiap saat? Mungkin itulah padahnya akibat terlalu biasa dengan budaya bertangguh dan bernanti-nanti, menyebabkan kita sudah hilang rasa kemanusiaan dan tumpul rasa keprihatinannya.
Selagi kita terus bergelumang dengan budaya ini, selagi itulah masalah kita umat Islam tidak akan selesai! Renung sejenak, fikir, dan insafilah hakikat kekurangan kita...

Khamis, 1 November 2007

sekadar renungan

Salam!
Hari ini aku nak menceritakan sekelumit kisah yang berlaku ketika aku bersekolah di Johor dahulu. KIsah ini mengambil tempat ketika aku bersekolah di tingkatan lima - lebih kurang 10 tahun dahulu. Kisahnya begini...
Suatu hari, kira-kira 2-3 bulan sebelum SPM, kami sedang berada dalam kelas Sains. Masa tu lebih kurang jam 8.00 pagi yang dikendalikan oleh Cikgu Zaleha Kassim (cikgu kat mana sekarang? Moga dalam rahmat Allah sentiasa) yang komited, baik, dan bersungguh-sungguh mengajar. Ada seorang kawan aku yang hobinya suka datang lewat - sekolah yang sepatutnya bermula jam 7.30 pagi, tapi dia datang ikut suka hati - datang pukul 8, 9, malah pukul 10 pun pernah. Aku yang jadi ketua kelas memang bengang - pening nak isi kedatangan pelajar - dah isi '0' dalam buku kedatangan, tiba-tiba pukul 10 nampak pulak batan hidungnya. Apa lah punya manusia ni?
Jadi ceritanya ketika kelas tu berlangsung, tiba-tiba terpacullah muka selamba kawan aku tu di pintu bilik darjah. Dengan penuh 'macho' dia terus menuju ke tempat duduknya. Apa lagi selepas itu, dia dihujani dengan pelbagai leteran oleh Cikgu Zaleha. Tapi aku rasa, buat menghabiskan air liur aje - kawan aku tu tak berubah pun, senyum simpul lagi. Setelah menghabiskan beberapa minit memarahi kawan aku tu, tiba-tiba Cikgu Zaleha mengeluarkan pertanyaan, "Kamuni datang sekolah sesuka hati, dah nak SPM masih main-main....bla bla bla...Kamu ni nak jadi apa?" katanya agak marah. Dengan selamba kawan tu menjawab, "Saya nak jadi polis...!" Jawapan selamba yang tak terduga dari mulut kawan aku itu menyebabkan ketawa pecah seisi kelas. Cikgu Zaleha yang marah tadi, tidak dapat menahan lucunya dan turut ketawa. Marah entah ke mana, lucu pula yang timbul...
Moral cerita - guru ialah insan kita perlu hormati selain ibu bapa sendiri. Cerita di atas hanyalah pengalaman sebenar aku semasa di sekolah. Pada pandangan aku, janganlah kita mempermainkan guru-guru kerana sekiranya kita berbuat demikian, bukan sahaja tidak beradab, malah dikhuatiri tiada keberkatan dalam ilmu yang diterima. Hormatilah guru setiap masa. Memang guru tidak sunyi daripada kesilapan, namun segala tindakannya - marah, sindir, besit, pukul, dan apa sahaja yang sinonim dengan guru tak lain tak bukan semata-mata untuk kebaikan anak-anak muridnya. Sesungguhnya setiap guru akan berasa bangga apabila anak muridnya benar-benar menjadi "manusia" dan berjaya di dunia dan akhirat. Allah Hu Akbar!