Sabtu, 15 Mac 2008

sekadar renungan

Salam
Beberapa hari yang lalu aku sempat menjenguk anak-anak di smiaag - sekadar memberi perangsang sebelum mereka bertempur di arena debat. Aku rasa terharu - masih ada sambutan dan layanan yang mesra seperti masa lalu walaupun aku kini hanyalah mantan guru mereka (mandat bak kata seorang bekas anak muridku). terbayang lagi keseronokan bersama kalian ketika sibuk bergulat dengan usul tahun lalu - buat qistina, hasif, diyana, khalilah, lina, dan lai-lain moga selamat berjuang dan berjaya- semoga lebih baik berbanding ketika bersama ustaz dahulu.
Juga buat bekas anak-anak muridku yang telah memperoleh keputusan spm - tahniah dan anda telah membuktikan - terasa ada kebanggaan dengan kejayaan kalian - syukur kepada allah. buat kak fauziah, tahniah kerana kejayaan man. apa sangatlah sumbangan saya yang kerdil ini jika nak dibandingkan dengan kesudian kakak dan abang membantu kami guru-guru tak kira waktu. syukran atas do'a.
Juga tak ketinggalan buat mereka yang sudi menjenguk ruang mayaku - qistina, nur hanani, ammar, dan semua - terima kasih. saya juga rindu untuk bercerita kepada kalian, berkongsi keseronokan belajar dan mengajar. kenangan bersama kalian, wah mana mungkin saya lupakan begitu sahaja...ada rezeki kita berjumpa lagi.

Sabtu, 1 Mac 2008

sekadar renungan

Salam dari aku di selatan!
Bagaimana kalian semua? Lama juga aku tidak menulis luahan rasa di alam maya ini. Aku disini sihat2 sahaja. Buat bekas anak-anak muridku yang mungkin sibuk bergulat dengan segala macam ujian bulanan, semoga tabah dan terus berjaya. Moga kejayaan karar bersama kalian
Hmm, tiada apa yang menarik untuk aku catatkan. Sekadar mengenang tindakan Sasterawan Negara, Dato A. Samad Said yang enggan dirinya dipanggil Sasterawan Negara lagi. Kali kedua beliau meluahkan rasa ekoran tragedi dan Bahasa Melayu yang semakin melemaskan. Mungkin inilah ura-ura untuk menjadikan teks-teks popular sebagai teks wajib Komsas dan menggantikan teks dalam kalangan para penulis yang pernah menggondol anugerah Sasterawan Negara mahupun anugerah S.E.A Write Awards. Ada sesiapa yang peduli? Pada saat dan ketika Bahasa Melayu diasak dengan pelbagai tohmahan, nampaknya sisa-sisa nilai keindahan dan keintelektualannya pun semakin dihakis. Apakah nilai dan gaya bahasa para sasterawan kita terlalu berat, seberat batu sehingga gagal digalas mahupun dipikul oleh bahu pelajar kita? Aku tidak mengerti kewarasan cadangan ini. Mungkin atas faktor popular?
Semoga luahan rasa Pak Samad mendapat perhatian yang sewajarnya. Janganlah biarkan Bahasa Melayu kita dibiarkan mati dan dikuburkan tidak bertanda kelak. Cukuplah dengan segala macam keruwetan masalah bahasa yang ada - tiada diberi nilai ekonomi, bahasa rancu, dipinggirkan, dan sebagainya. Berbanggalah dengan bahasa yang kita miliki ini. Bahasa kita, tanggungjawab kita. Buktkan slogan yang muluk ini, kerana bahasa itu jiwa bangsa Malaysia.