Ahad, 30 Disember 2007

sekadar renungan


Salam


Hah, agak lama aku menyepi di persada maya ini. Rasanya belu, cukup terlambat buat aku mengucapkan salam kecemerlangan buat anak-anak yang mengecapi kejayaan dalam PMR. Buat yang kurang berjaya, jangan lemah dan putus asa. Walaupun kejayaan dalam PMR itu penting, namun ia bukanlah bersifat mutlak. Perjalanan kalian masih panjang dan punya masa untuk menambah baik yang kurang dan bersiap sedia semaksimum mungkin untuk mendepani SPM. Bagi yang berjaya, janganlah terlalu bangga - apabila memandang bintang di langit, jangan lupa akan rumput di bumi!


Buat anak-anak muridku di al amin tahniah buat kalian dengan kejayaan ini - sama ada di 3 arz, 3 ast, dan 3 asf. Buat yang lain, maaf buat kalian kerana aku terpaksa mengundur diri dari al amin, meninggalkan kalian - kerana aku ada perjuangan pendidikan yang harus depani dan tanggapi. Kenangan bersama kalian tidak akan aku lupakan. Jika ada yang tak kena di mata, tak kenan dirasa, tak enak di telinga, atau apa sahaja - maaf aku pinta dari kalian!

Jumaat, 14 Disember 2007

sekadar renungan

Salam
Kemandulan Bahasa Melayu?
Mungkin isu ini sudah agak lama berlalu - setelah dicetuskan oleh seorang ahli parlimen dan ianya diulas oleh ketua pengarah DBP.
Aku tidak bermaksud mengulas dan memanjangkan polemik yang seolah-olah dibuat secara bermusim untuk memenuhi strategi masing2 atau mengisi agneda mereka yang bernama individu penting masyarakat
Apa yang ingin aku paparkan di sini hanya sekadar pandangan seorang rakyat marhaen, seorang guru yang mengajar bahasa melayu, seorang manusia malaysia yang telah lama memerhatikan gelagat manusia di negara kita.
Dalam keseronokan kita mengatakan DBP dan ahli-ahli bahasa yang melingkari dan memayunginya sebagai tidak efisyen dan tidak serius memartabatkan bahasa melayu, sehingga menyebabkan kemandulan bahasa melayu, sering terlintas di kepalaku beberapa persoalan:
1. siapakah yang sering tidak selesa berucap dengan bahasa melayu ketika majlis2 rasmi sehingga berucap sepenuhnya dalam bahasa asing ketika seluruh khalayaknya faham akan bahasa melayu
2. siapakah yang mempopularkan bahasa rancu, sekerat melayu, sekerat inggeris ketika berkomunikasi sehingga seolah-olah kelihatan "sekerat belut, sekerat ular"?
3. siapakah yang mencabut akar bahasa melayu sebagai bahasa pengantar dalam mata pelajaran sains dan matematik sedangkan bahasa melayu termaktub sebagai bahasa rasmi dan kebangssaan malaysia? siapa pula penyokong2nya ketika DBP dan para pejuang bahasa menentang dasar tersebut?
pada pandanganku, sebelum kita 'membelasah' dan menuding jari menyatakan anda salah, awak tidak betul, engkau silap, sebaik-baiknya kita melihat serta menilai dahulu apa yang telah kita lakukan selama ini. menyalahkan pihak lain sehingga menimbulkan polemik memang mudah dan menyeronokkan, tetapi apakah kebaikannya untuk bahasa kebangsaan kita yang semakin 'tawar' kekuatannya?
lebih baik rasanya kita duduk semeja, mencari mana yang kurang dan berusaha agar martabat bahasa kebangsaan kita kembali diletakkan pada mercu sebenarnya!

Sekadar renungan

Salam
Sekian lama tidak berjumpa di ruangan ini - maklumlah cuti sekolah, sibuk memenuhi tuntutan-tuntutan peribadi.
Buat yang terkena musibah banjir, semoga terus bersabar dan tabah menerima cabaran Al Khalik. Semoga segala cabaran yang datang, tidak mengurangkan kesabaran kita biar pun sedikit!
Sebenarnya aku ketika ini berada di Terengganu - masih berfikir2 - segamat masih dilanda banjir, sementelahan di LPT masih ada laluan yang ditutup. Jadi jalan mana yang harus aku ikut? Nak naik kapal terbang, duit jarang dari mencukupi (walaupun penerbangan tambang murah!) Betapa mahalnya kos hidup di malaysia ini kan?
Apa2 pun, aku tetap bersyukur dengan ketentuan Allah!

Isnin, 26 November 2007

sekadar renungan

Assalamualaikum
Bertemu lagi kita setelah hampir dua minggu aku tidak cakna akan blog ini - banyak hambatan2 lain yang perlu kuselesaikan
Aku ingin berkongsi sedikit kisah yang kukutip dari kuliah maghrib dan novel yang kubaca - Menikam Kalbu, karya Faisal Tehrani.
Apa yang ingin kunukilkan di sini ialah soal yang sememangnya penting buat umat Islam, namun hari ini ia semakin dipinggirkan@ ramai dalam kalangan kita yang mengikutnya secara songsang - soal aurat!
Hakikat hari ini apabila aku melihat di dalam majalah ataupun rancangan majalah TV, muncul satu tradisi baru - busana muslimah/ muslimin. Kita diperkenalkan dengan pakaian2 yang dikatakan berimejkan Islam. Bertudung, berbaju panjang, dan sebagainya yang dikatakan menutup aurat - cuma apa yang sendiri terlalu 'bodoh' untuk memahaminya ialah, konsep menutup aurat yang ditampilkan oleh para pereka dan pedagang busana itu jauh dari konsep aurat yang telah ditetapka oleh Islam - apakah ertinya "bertudung" bagi seorang muslimah jika masih menampakkan leher, helaian rambut halus, tengkuk, dan sebagainya? Apa ertinya menutup aurat jika pakaiannya masih ketat dan menampakkan setiap susuk tubuh? Apakah maknanya menutup aurat, jika fabrik yang digunakan terlalu jarang - hingga ada yang menisbahkan ia sebagai langsir tingkap@pintu dan warnanya yang terang menyala sehingga menarik mata para lelaki? Apa ertinya bertudung, sekiranya baju yang digunakan berlengan pendek dan untuk menutup kekurangan itu maka dipakaikan sarung lengan. Adakah dikira menutup aurat jika kasih memakai jeans sendat yang menyeksa tubuh...? Teringat aku akan konsep berpakaian wanita Islam pada zaman persekolahanku dahulu - Tas Tu Wah Ka (Atas tutup, bawah buka - memakai tudung dan dalam masa yang sama memakai baju berlengan pendek dan berjeans ketat...)
Mutakhir ini, aku rasa kita sering dikelirukan dengan jenama@label Islam oleh pelbagai pihak - namun pada pandangan aku, ia sebenarnya sangat jauuuuuuhhhh dari Islam yang diwahyukan kepada junjungan besar kita. Lihat sahaja dalam soal fesyen dan budaya berpakaian dalam kalangan umat Islam hari ini. Itu tidak kira lagi dengan mereka yang bebas berseluar pendek, berpakaian menampakkan segala aurat dan urat serta sejuta macam fitnah yang diperkenalkan dalam budaya berpakaian yang aku pasti jauh menyimpang dari tuntutan Islam. Nampaknya umat Islam kini (bukan semua) masih terus terkeliru dengan konsep menutup aurat kerana bagi mereka menutup aurat itu ialah sekadar mengenakan tudung yang cukup kecil molek di atas kepala - sudah lengkap - tidak ambil peduli tentang leher, tengkuk, bentuk badan, kaki yang terdedah. Lelaki juga tidak terkecuali dalam hal ini. Akan aku bincangkan dalam post yang akan datang.
Apa yang kunyatakan ini adalah hasil pemerhatianku selama ini. Marilah kita sama2 memikirkan dan berusaha meluruskan apa kusut selama ini. Semoga Islam yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad SAW terus subur di muka bumi Allah ini. Allah Hu Akbar!

Khamis, 15 November 2007

sekadar renungan



Salam


Kita bertemu lagi...


Aku ingin berkongsi maklumat yang diperoleh awal minggu ini...


Ketika mengikuti kuliah maghrib, ustaz berkenaan bercerita berkaitan dengan sikap manusia hari ini berkaitan solat berjemaah di masjid. Menurutnya meskipun azan sekian banyak dilaungkan di masjid dan juga surau, namun masih terlalu ramai manusia yang tidak mengendahkannya - khususnya untuk solat berjamaah di masjid atau surau.


Beliua turut mengkategorikan 3 jenis manusia yang hadir ke masjid/ surau (bukan melabel manusia, sekadar pandangan yang boleh kita kongsi dan insafi bersama)


Pertama, hadir ke masjid kerana panggilan manusia (azan) - mereka ini hadir dengan rela hati untuk menunaikan perintah Allah - jumlah ini tidak ramai bilangannya.


Kedua, hadir ke masjid kerana mendapat undangan khas - contohnya datang ke masjid kerana ada kenduri, jamuan makan, sambutan maulidur rasul dan sebagainya - jumlahnya agak ramai, khususnya ketika majlis itu berlangsung


Ketiga, hadir ke masjid kerana 'tidak dirancang, tidak sengaja' - golongan ini biasanya hadir ke masjid bukan kerana kehendak sendiri, sebaliknya hadir kerana mengiringi tetamu atau para pembesar/ pemimpin. Lebih malang, mereka hadir ketika bukan pada waktu solat!


Begitulah hakikat kita hari ini - ketika muazzin sedang mengumandangkan azan, ramai dari kita yang masih berada di mana-mana - di pasar raya sibuk membeli belah, di pasar malam membeli jagung dan apam balik, di padang bola sibuk mengejar bola yang sebiji, di kedai makan sibuk menghirup teh tarik kurang manis dan sebagainya.


Inilah hakikat masa kini - masjid dan surau semakin lengang, sunyi, dan sepi. Jika penuh satu saf pada ketika solat lima waktu, ia sudah dikira cukup ramai..


Renung, fikir, dan lihatlah di mana kita...di masjid/ surau atau di mana-mana!

Isnin, 12 November 2007

sekadar renungan

Salam

Apa kahbar? Beberapa hari tidak menulis, kita berjumpa lagi

Tiada apa yang hendak ku nukilkan di sini - cuma sama-sama maksud hadis Rasululah SAW yang aku baca sejak jumaat, sabtu, ahad, dan isnin lalu.

"Sudah hampir tiba suatu masa di mana tidak tinggal lagi dari Islam itu kecuali hanya namanya dan tidak tinggal dari al-Qur'an kecuali hanya tulisannya. Masjid-masjid mereka tersergam indah, namun kosong dari petunjuk. Ulama'-ulama' mereka adalah sejahat-jahat makhluk yang ada di bawah kulit langit. Dari mereka berpunca fitnah dan kepada mereka fitnah itu kembali (riwayat Baihaqi)

Bagaimana kualiti Islam kita? Bagaimana hakikat Islam kita? Bagaimana umat Islam kita kini? Mungkinkah apa yang dijelaskan dalam hadith itu telah berlaku kini?

Kita kongsikan bersama - dengar, lihat, fikirkan bersama...

Ahad, 11 November 2007

bahasaku

Salam
Halaman ini membincangkan isu-isu Bahasa Melayu - tatabahasa, kosakata, karangan, struktur ayat, frasa, dan sebagainya - khusus untuk para pelajarku yang berada di tingkatan 2 dan 3 (untuk pmr). Harap dimanfaatkan!