Isnin, 29 Oktober 2007

sekadar renungan


Salam


Seluruh rakyat Malaysia gembira dan berbangga dengan kejayaan hero angkasa lepas kita, Dr. Sheikh Muszaphar yang telah berjaya mencatat rekod sebagai rakyat Malaysia pertama berjaya menlangkaui langit tanah air negara, terus menuju ke ISS. Memang patut kita bergembira, memang patut penghargaan diberikan kepada Dr. Sheikh Muszphar. Dia memang hero Malaysia. Lebih hero dari Cicak Man!


Cuma, kadangkala aku terfikir betapa ramai lagi hero-hero kita yang tidak pernah kita ambil peduli. Ketika Ramadhan lalu, aku pernah menonton program Pukul 3 Pagi di TV9. Kisahnya berkaitan dengan para pekerja pembersihan di Kuala Lumpur. Fikiranku juga terhimbau terhadap para pekerja yang menyapu sampah di tepi-tepi jalan, anggota bomba, para pengawal keselamatan, pekerja-pekerja di stesen-stesen minyak, para petugas di wad kecemasan, dan sebagainya. Tidak pernah rasanya mereka dianggap sebagai hero (sememangnya mereka pun tidak pernah minta dianggap sebagai hero)


Pada pandangan peribadiku, mereka tetap hero dan berjasa kepada masyarakat. Bayangkan, ketiadaan hero-hero yang sanggup menyabung nyawa menyapu di tepi-tepi jalanraya di Kuala Lumpur. Pastinya jalan raya kita akan dipenuhi segala macam sampah, yang dibuang sesuka hati oleh kita.


Aku percaya, mereka tidak pernah mahu dianggap sebagai hero, apatah lagi dijulang namanya dengan gelaran pelbagai pangkat seperti Dato', Datuk Seri, mahupun Tan Sri. Namun apa yang tetap percaya, mereka benar-benar berjasa dan memainkan peranan yang cukup besar dalam menjamin keselesaan dan kelangsungan hidup kita.


Mungkin sudah sampai masanya untuk kita berhenti sejenak dan berfikir betapa heronya mereka bairpun mereka tidak pernah sampai ke angkasa, tidak sampai ke kutub utara mahupun selatan, dan tidak pernah belayar mengelilingi dunia.


Sekurang-kurangnya kita berilah penghargaan yang selayaknya untuk mereka sebagai unit penting dalam komuniti kita. Mungkin kita terlalu lama mendongak ke langit melihat bintang, sehingga terlupa rumput di bumi yang dibersihkan oleh hero kita ini

1 ulasan:

anamukminah berkata...

Salam,
Teharu ana apabila membaca tulisan ustaz ini. Memang benar, dalam kehidupan di zaman serba moden ini, kita sering melupakan pengorbanan dan jasa-jasa orang yang tidak kita pandang kewujudannya.
Oleh itu, hargailah pengorbanan setiap insan di muka bumi ini. Jangan kita asyik mendabik dada mengatakan kita "hero" di dunia ini. Firman Allah dalam surah al-Hujuraat ayat 13:
"Wahai manusia, sesungguhnya kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi kamu ialah orang yang paling bertaqwa"
Wallahualam...