Rabu, 31 Oktober 2007

sekadar renungan


Assalamu'alaikum w.b.t



Kita bertemu lagi di ruangan maya ini.



Hari ini aku berniat nak menulis serba sedikit tentang suasana di persekolahan - bukan nak membuat perbandingan tidak adil dengan zaman aku, cuma nak mengerti hakikat akan nilai ilmu dalam kalangan anak-anak hari ini.



Sekolahaku ketika ini sedang mengadakan peperiksaan akhir tahun. Seperti biasa suasananya tenteram, terkawal, dan semua pelajar setia dengan buku masing-masing (satu suasana yang payah aku nak tengok kalau bukan 'zaman' peperiksaan! Biarlah tu, perkara itu lebih bermanfaat kan? Cuma aku hairan dengan sikap para pelajar di sekolahku - sebaik sahaja peperiksaan sesuatu kertas itu tamat, maka berlonggok-longgoklah segala buku teks, buku nota, kamus, nota ringkas, dan sebagainya di merata tempat - di tangga, di tepi longkang, di tepi kaki lima, dan di mana-mana sahaja yang mungkin. Inilah yang menjadi perbincangan para guru. Seolah-olah ilmu yang ada pada buku-buku tersebut tidak bernilai, hingga layak dibakul sampah atau dilongkangkan! Jika inilah mentaliti generasi hari ini, bagaimana agaknya cabaran untuk mengisi manusia berminda kelas pertama?



Teringataku akan zaman persekolahan aku dahulu - percaya atau tidak Kamus Dewan yang sering terbuang di mana-mana hari ini, cukup sukar aku miliki - justeru harganya yang agak mahal (masa belajar pinjam ajelah!). Hanya apabila aku telah bekerja, barulah aku dapat membelinya - satu kepuasan yang tak tergambar. Begitu juga dengan nota-nota sekolahku. JIka anak-anak hari ini tidak mengumpamakan nota-nota yang diberi oleh para guru, aku masih lagi menyimpan nota-nota aku ketika di tingkatan enam dahulu. Aku tidaklah bermaksud untuk mengatakan bahawa para pelajar hari ini (bukan semua) tidak menghargai ilmu, cuma aku kesal dengan sikap mereka terhadap ilmu2 yang bermanfaat ini.



Kita menung-menung dan fikirkan sejenak...kenangkan bagaimana susahnya generasi awal Islam dahulu sukar untuk mendapatkan ilmu. Kenangkan bagaimana perih payah, pahit getir Muhammad b. Abdullah menerima wahyu dari Allah. Bayangkan bagaimana susahnya Iman Syafie, Hanafi, Ghazali, Maliki, Ibnu Sina, Sheikh Abdul Qadir Jailani, Bukhari, Muslim, danlain-lainnya mendapatkan ilmu? Bagaimana hasil kegigihan generasi Islam tersebut yang gigih menuntut ilmu ini hingga berjaya mewujudkan kerajaan Islam yang gemilang dalam semua aspek. Bagaimana kecemerlangan Islam menjadi inspirasi dan batu tanda kejayaan bangsa Eropah sehinggaberjaya melepasi zaman gelap?



Jadi, bagaimanakah sikap kita terhadap ilmu, terhadap adab berilmu, terhadap Islam, terhadap Rasulullah, malah terhadap Allah sendiri? Cuba nyatakan bagaimana kita akan berjaya di dunia dan akhirat sekiranya dalam soal remeh terhadap penghargaan ilmu/ buku, kita masih gagal tidak pernah ambil pusing...Mungkin perbandingan zaman antara aku dengan generasi hari tidak adil, tetapi bagiku sikap kita terhadap ilmu ini lebih tidak adil, sekiranya kita terus melangsungkan sikap buruk kita itu.



Cuba kita fikir-fikirkan...di mana dan bagaimana sikap kita!



2 ulasan:

anamukminah berkata...

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Sebagai seorang pelajar, ana sendiri agak pelik dengan sikap sebahagian pelajar-pelajar al-Amin yang memang tak hargai ilmu (hahaha, ana pun ada juga pernah tinggal2 buku ni. Tapi, lepas tu meraban cari dekat sekolah! Tak lah seperti sesetengah orang yang membiarkan terus buku mereka tertinggal di sekolah.) Mungkin kerana kehidupan asyik diselimuti kemewahan, kita kadang-kadang lupa mengenai nilai ilmu yang sememangnya mahal dan berharga.
Jika kita memandang rendah terhadap nilai ilmu yang dipelajari, mana mungkin kita akan mendapat keberkatan daripada ilmu tersebut. Seluas mana pun harta kekayaan kita, namun nilai ilmu tidak mungkin dapat ditandingi. Oleh itu, hargailah ilmu. Jangan kita hanya belajar untuk menghadapi imtihan, sesudah imtihan campak sahaja buku ke mana suka.

hamba allah jua adanya berkata...

Salam!

Ha, reti pun...pernah terlibat jugak dengan aktiviti tak elok tu.Jangan teruskan perbuatan yang tak elok, membazir, dan tak menghargai ilmu tu. Ilmu ni sebenarnya tak ada harga untuk menentukannya. "Berapa harga untuk ilmu tatabahasa sekilo? Seribu, dua ribu...?" hargailah ilmu sebagai mana Rasul dan para sahabat kita. Ilmu yang membawa petunjuk dan membahagiakan kita di sana kelak. Ilmulah yang mengenalkan kita dengan Al Khalik!