Selasa, 30 Oktober 2007

sekadar renungan


Assalamu'alaikum wbt

Kita bertemu lagi di gerbang maya, yang nyata di mata, namun tak terjangkau oleh tangan ini.
Selepas solat maghrib semalam, aku berpeluang mengikuti kuliah maghrib yang disampaikan oleh seorang ustaz. Tajuknya mudah sahaja, muhasabah/ menilai kembali/ post morterm

Sebenarnya banyak perkara yang membuatkan aku tertarik dengan isi kuliahnya, namun cukuplah kiranya aku sebarkan pada ruangan ini beberapa inti pati penting dari kuliahnya itu. Paling ketara katanya, ketika Ramadhan, masjid yang selalunya miskin dengan para jemaah, tiba-tiba melimpah ruah. Entah dari datangnya. Tak kisahlah tu, yang baik perlu disambut dengan tangan terbuka dan diberi sokongan. Namun malang, munculnya fajarnya 1 Syawal, masjid dan surau kita kembali sepi, kosong, dan terpasung. Tinggalah golongan kaki masjid yang terus setia mengimarahkan masjid -pak imam, pak bilal, pakcik-pakcik, makcik-makcik, golongan yang sudah pencen, dan beberapa orang lagi. Saf yang dulu melimpah ruah, kini cuma tinggal sebaris sahaja - itu pun dah cukup baik. Tambahnya lagi, yang lebih malang, ketika solat sunat Eidul Fitri, masjid juga tak kurang penuhnya - terdiri dari pelbagai peringkat - termasuk juga dalam kalangan lelaki yang memakai rantai, gelang, subang, dan beraneka warna rambutnya - malang senario ini tidak berpanjangan - ketika solat fardhu, kembali kosong - cuba lihat realiti ketika solat subuh, zuhur, dan asar - dapat kita lihat betapa miskinnya masjid dan surau kita! Perkara yang beliau bangkitkan, mengapa solat sunat masjid begitu penuh tetapi ironinya berlaku ketika solat fardhu? Justeru tidak hairanlah jika kita mendengar dialog berikut..."Eh, hari tu bumbung masjid ni warna biru, bila pulak tukar warna kuning?" "Eh, apalah kau ni, bumbung warna biru tu tahun lepaslah...nampak sangat kau ni pergi solat setahun sekali!" Itulah realiti masyarakat kita kini - mungkin pergi bersolat hari raya semata-mata untuk menayangkan baju melayu mereka - tak lah rasa sia-sia menghabiskan duit untuk membeli/ menempah baju raya baru! Cuba kita renung, perhati, dan fikirkan hal ini...

Perkara kedua yang dibangkitkan ialah cara orang kita (bukan semua) merayakan Eidul Fitri - mereka bebas semahu-mahunya. Bersalaman tanpa mengira batas halal dan haram, lelaki dan perempuan semuanya bersalaman dengan matlmat yang SATU - memohon kemaafan. Apa yang lebih teruk, ada yang memakai sarung tangan (berlapik) untuk bersalaman dengan bukan mahramnya. Begitu juga dengan soal pergaulan bebas serta tayangan rancangan tv (bukan semua) yang rata-ratanya melanngar konsep/ erti sebenar hari raya fitrah itu - kembali kepada fitrah manusia Islam. Seolah-olah tarbiyah/ universiti Ramadhan selama sebulan itu berlalu sia-sia tanpa sebarang pengisian, tanpa sebarang keinsafan!

Begitulah yang diperhatikan - sebenarnya bagi aku, nasihatnya bukan untuk orang lain tetapi juga buat diriku, tetapi aku rasa wajar juga dikongsikan pada ruangan yang terhad ini. Begitulah hakikat kita kini, ramai yang semakin hanyut dari Islam yang sebenar pada zaman yang penuh cabaran dan fitnah. Cuma aku terfikir, dengan keadaan sebegini, bagaimana diri ini akan berdiri di hadapan Allah untuk menerima pengadilan daripadaNya? Sanggupkah aku? Bersediakah aku? Sempurnakah amalanku? Kukuhkah hujahku kelak? Teringat aku akan kata-kata Saidina Umar al Khattab dahulu, lebih kurang berbunyi begini - "Hisablah diri kita, sebelum diri kita ini dihisab di hadapan Allah kelak...!" Mari kita sama-sama berfikir dan bertindak...Jom, ke masjid!

1 ulasan:

anamukminah berkata...

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Memang mengharukan jika kita lihat kepincangan ummah masa kini. Keadaan ini tidak lari daripada hadis Nabi junjungan mulia SAW:
"Akan tiba satu zaman, di mana ketika itu tiada yang tinggal daripada Islam kecuali namanya sahaja, tidak ada yang tinggal daripada al-Quran melainkan tulisannya sahaja, Masjid-masjidnya indah dan mewah, tapi jauh daripada hidayah Allah, dan ulama'-ulama' di zaman itu merupakan sejahat-jahat manusia, dari mereka keluarnya fitnah, dan akan kembali fitnah tersebut kepada mereka."
(Riwayat Baihaqi)
Renung-renungkanlah...