Ahad, 4 November 2007

sekadar renungan

Salam!
Budaya Tangguh-tangguh, Nanti-nanti...
Bertemu kembali di persada ini, setelah dua hari berehat.
Apa yang nak aku nukilkan di sini menyentuh tentang budaya atau cara kita dalam hidup seharian. Bukan niat memperkecilkan sesiapa, sekadar meluah apa yang berlaku di sekitar kita. Jika ada yang tersingguh atau tersentuh, maaf kupinta!
Sikap atau lebih tepat budaya bertangguh atau "nanti sekejap"memang sudah membarah dalam kalangan kita. Contoh paling baik, jika diajak ke arah kebaikan seperti segera bersolat, ramai yang memberikan alasan (tetapi BUKAN SEMUA!) - "pergi dulu le, saya belum mandi lagi, sila le solat dahulu, kejap lagi le, nanti sekejap", dan sejuta satu alasan lagi. Begitulah adatnya kita - apabila diajak ke arah kebaikan, kita sering bertangguh dan beralasan. Tetapi jika diajak melakukan sesuatu yang sebaliknya, kita akan bersegera tanpa tangguh!
Budaya sedemikian amat melukakan kita sebagai umat Islam yang cukup sinonim dengan wahyu Allah berkaitan dengan kepentingan masa. Kita juga sering diingatkan dengan pengajaran dari surah Al-Asr untuk kemaslahatan kita. Cuma, memang cukup malang, kita tidak pernah mengambil pengajaran dan peringatan dari surah tersebut. Justeru, tidak hairanlah masalah ummah kita tidak pernah selesai - dari isu klasik Palestin, Chechnya, Kashmir, Iraq, Afghanistan dan sebagainya. "Baiklah, kita nanti kita akan bincangkan pada suatu masa yang akan ditetapkan kelak". Bertambah malang, isu umat Islam kita serahkan kepada kuffar untuk menyelesaikannya - PBB, Nato, EU, dan sebagainya. Di mana kesatuan umat Islam, di mana suara umat Islam, di mana pertolongan umat Islam ,dan di mana OIC?
Mengapa kita masih lagi bertangguh-tangguh dan bernanti-nanti pada ketika saudara-saudara kita terus mengalami tribulasi, disembelih, ditindas, dan dizalimi saban masa setiap saat? Mungkin itulah padahnya akibat terlalu biasa dengan budaya bertangguh dan bernanti-nanti, menyebabkan kita sudah hilang rasa kemanusiaan dan tumpul rasa keprihatinannya.
Selagi kita terus bergelumang dengan budaya ini, selagi itulah masalah kita umat Islam tidak akan selesai! Renung sejenak, fikir, dan insafilah hakikat kekurangan kita...

1 ulasan:

anamukminah berkata...

Salam,
Huhu, baca posting kali ini, ana agak insaf! Ana rasa, diri ana sendiri pun tak terlepas daripada dicengkam oleh budaya bertangguh ini. Susah untuk mencari penawarnya, namun, penyakit ini tetap perlu diubati.
Doakanlah supaya diriku yang sentiasa bertangguh ini akan dapat mengubah tabiat burukku secepat mungkin. Bermujahadah dan beristiqamahlah dalam setiap tindakan, nescaya anda akan mendapat kejayaan. InsyaAllah