Isnin, 5 November 2007

sekadar renungan


Assalamu'alaikum w.b.t

Salam, kita bertemu lagi!

Aku ingin berkongsi sedikit ilmu yang aku perolehi dari kuliah tafsir selepas solat Maghrib malam tadi - peringatan buat diriku dan sesiapa yang melayari blog ini.

Semalam penceramah memberi kuliah tentang surah Alkahfi, dari ayat 3 hingga 5. Beliau menyentuh tentang amaran Allah tentang sikap orang musyrikin yang mengatakan Allah mempunyai anak - Uzair anak Allah, kata yahudi, Isa anak Allah kata nasrani, dan malaikat anak perempuan Allah, kata Arab musyrikin. Betapa sesatnya mereka!

Tetapi apa yang aku nak catatkan di sini ialah tentang perihal lidah. Menurut ustaz itu, lidah merupakan anggota manusia yang berbentuk kecil - tetapi bahaya yang dimainkan amat besar kepada diri pemiliknya - berdusta, sumpah palsu, menyebut perkataan-perkataan lucah dan sia-sia. Tambahnya lagi, betapa ramai manusia yang tercebur ke dalam neraka disebabkan oleh lisan/ lidah/ mulut manusia. Natijahnya di hadapan Allah kelak, kepetahan lidah memutar belitkan kata-kata akan terkunci sementara anggota-anggota badan lain akan menjadi saksi. Justeru tambah beliau, jika tiada sesuatu yang layak diperkatakan - maka lebih baik kita diam!
Beliau juga menambah, selain menjaga lisannya, manusia juga perlu memelihara kemaluannya kerana juga mampu mendorong manusia ke arah kebinasaan!

Beralih kepada isu yang berbeza....

Beliau menyentuh tentang sifat yang perlu ada pada setiap orang Islam - perlu bersikap sebagai seorang dai'e. Beliau memberi contoh sikap yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad terhadap para penduduk Taif yang menolak dakwah baginda. Biarpun malaikat mennawarkan baginda agar para penduduk Taif dimusnahkan, namun baginda menyatakan lebih kurang maksudnya, " Jika mereka tidak mahu menerima Islam, biarlah anak-anak mereka yang mahu menerimanya" Begitulah luhur sikap baginda dan inilah sikap yang perlu kita contohi - sekiranya nasihat yang kita berikan kepada seseorang ditolak, jangan kita tinggalkan mereka sebaliknya kita perlu berasa kesal dan mendoakan mereka agar diberi hidayah!

Elok kita fikir-fikirkan!

Tiada ulasan: