Khamis, 15 November 2007

sekadar renungan



Salam


Kita bertemu lagi...


Aku ingin berkongsi maklumat yang diperoleh awal minggu ini...


Ketika mengikuti kuliah maghrib, ustaz berkenaan bercerita berkaitan dengan sikap manusia hari ini berkaitan solat berjemaah di masjid. Menurutnya meskipun azan sekian banyak dilaungkan di masjid dan juga surau, namun masih terlalu ramai manusia yang tidak mengendahkannya - khususnya untuk solat berjamaah di masjid atau surau.


Beliua turut mengkategorikan 3 jenis manusia yang hadir ke masjid/ surau (bukan melabel manusia, sekadar pandangan yang boleh kita kongsi dan insafi bersama)


Pertama, hadir ke masjid kerana panggilan manusia (azan) - mereka ini hadir dengan rela hati untuk menunaikan perintah Allah - jumlah ini tidak ramai bilangannya.


Kedua, hadir ke masjid kerana mendapat undangan khas - contohnya datang ke masjid kerana ada kenduri, jamuan makan, sambutan maulidur rasul dan sebagainya - jumlahnya agak ramai, khususnya ketika majlis itu berlangsung


Ketiga, hadir ke masjid kerana 'tidak dirancang, tidak sengaja' - golongan ini biasanya hadir ke masjid bukan kerana kehendak sendiri, sebaliknya hadir kerana mengiringi tetamu atau para pembesar/ pemimpin. Lebih malang, mereka hadir ketika bukan pada waktu solat!


Begitulah hakikat kita hari ini - ketika muazzin sedang mengumandangkan azan, ramai dari kita yang masih berada di mana-mana - di pasar raya sibuk membeli belah, di pasar malam membeli jagung dan apam balik, di padang bola sibuk mengejar bola yang sebiji, di kedai makan sibuk menghirup teh tarik kurang manis dan sebagainya.


Inilah hakikat masa kini - masjid dan surau semakin lengang, sunyi, dan sepi. Jika penuh satu saf pada ketika solat lima waktu, ia sudah dikira cukup ramai..


Renung, fikir, dan lihatlah di mana kita...di masjid/ surau atau di mana-mana!

Tiada ulasan: